Thursday, 29 January 2015

PENGENALAN KEPADA KECERGASAN

1.   PENGENALAN KEPADA KECERGASAN

a.    Konsep kecergasan keseluruhan atau kesejahteraan.
adalah integrasi komponen-komponen mental, sosial, emosi, fizikal dan rohani.  Kecergasan ini membolehkan individu memberi sumbangan yang bermakna kepada masyarakat. Kecergasan keseluruhan mencerminkan perasaan seseorang individu tentang kehidupan serta keupayaan diri berfungsi dengan lebih cekap dan berkesan.

i.              Kecergasan Fizikal
Kecergasan fizikal adalah keupayaan individu untuk berfungsi secara berkesan untuk menghadapi cabaran dalam kerja fizikal harian dan menggunakan masa lapang dengan lebih efektif di samping mempunyai lebihan tenaga untuk tujuan kecemasan.

ii.             Kecergasan Mental
Kecergasan mental adalah keupayaan individu untuk berfikir dan menggunakan maklumat untuk meningkatkan kualiti hidup seharian dan berfungsi secara optimal.

iii.            Kecergasan Sosial
Kecergasan sosial adalah keupayaan individu untuk berinteraksi dengan orang lain bagi mewujudkan perhubungan yang bermakna supaya dapat meningkatkan kualiti hidup semua pihak yang terlibat dalam hubungan ini.

iv.           Kecergasan Emosi
Kecergasaan emosi adalah keupayaan individu menangani kehidupan harian serta perasaan kendiri secara membina, proaktif, dan optimistik.

v.            Kecergasan Rohani
Kecergasan rohani adalah keupayaan individu untuk membentuk satu sistem nilai dan bertindak berlandaskan kepercayaan serta menetapkan dan melaksanakan matlamat kehidupan yang bermakna dan konstruktif.


  b.  Kecergasan Fizikal
i.              Definisi
Kecergasan fizikal adalah keupayaan individu untuk berfungsi secara berkesan untuk menghadapi cabaran dalam kerja fizikal harian dan menggunakan masa lapang dengan lebih efektif di samping mempunyai lebihan tenaga untuk tujuan kecemasan. Kecergasan fizikal dikaitkan dengan keupayaan individu untuk bekerja dengan lebih efektif dan menikmati masa kesenggangan, rehat, menentang penyakit hipokinetik dan menghadapi kecemasan. Kecergasan fizikal yang optimal tidak mungkin dicapai  tanpa senaman yang berterusan.

ii.             Komponen kecergasan fizikal

(A) Komponen kecergasan fizikal berdasarkan kesihatan  adalah:
v  Komposisi badan/kandungan lemak
v  Daya tahan kardiovaskular
v  Fleksibiliti
v  Kekuatan otot
v  Daya tahan otot

Setiap komponen ini berkait rapat dengan kesihatan yang baik serta mengurangkan risiko penyakit hipokinetik.

v  Komposisi badan/kandungan lemak
Komposisi badan adalah kadar relatif otot, lemak, tulang dan tisu-tisu lain yang membentuk tubuh. Individu yang cergas mempunyai peratus kandungan lemak yang rendah, berkadar dengan berat badan dan ketinggian.

v  Daya tahan kardiovaskular
Daya tahan kardiovaskular adalah keupayaan sistem kardio-respiratori untuk melakukan kerja bagi satu jangka masa yang lama dan berterusan dengan intensiti kerja yang ringan atau sederhana.

v  Fleksibiliti
Fleksibiliti membenarkan sendi atau sendi sendi bergerak dengan licin dengan rintangan yang minimum. Fleksibiliti dirujuk kepada julat pergerakan sendi.

v  Kekuatan Otot
Kekuatan otot adalah keupayaan otot untuk mengatasi rintangan bagi menghasilkan daya (kerja).

v  Daya Tahan Otot 
Daya tahan otot adalah keupayaan otot untuk melakukan aktiviti fizikal yang berulang-ulang atau berterusan bagi satu jangka masa yang lama dengan intensiti kerja yang ringan atau sederhana.

(B) Komponen kecergasan fizikal berdasarkan lakuan motor. Bagi membolehkan individu terlibat secara cekap dan berkesan dalam aktiviti sukan terutamanya sukan kompetetif, komponen-komponen kecergasan fizikal berdasarkan lakuan motor diperlukan.  Komponen – komponen ini adalah:

v  Kelajuan (Speed)
Kelajuan adalah keupayaan untuk melakukan pergerakan dalam masa yang singkat. Kelajuan dirujuk kepada jarak pergerakan yang dicapai dalam satu jangka masa yang diberi.

v  Ketangkasan (Agility)
Ketangkasan adalah keupayaan untuk mengubah arah pergerakan atau kedudukan badan dengan pantas dan tepat.   

v  Kuasa (Power)
Kuasa adalah keupayaan untuk memindahkan tenaga kepada daya secara eksplosif.  Kuasa dirujuk kepada gabungan kekuatan dan kelajuan pergerakan otot.

v  Imbangan (Balance)
Imbangan adalah keupayaan untuk mengekalkan kedudukan badan dengan teguh  samada semasa melakukan pergerakan (dinamik) atau semasa pegun (statik). 

v  Masa reaksi (Reaction Time)
Masa reaksi adalah masa yang diambil oleh seseorang untuk bertindak setelah menerima rangsangan untuk berbuat demikian.

v  Koordinasi (Coordination)

Koordinasi adalah kebolehan menyelaras dan menyeragamkan pergerakan anggota badan untuk menghasilkan sesuatu tindakan tertentu.

No comments:

Post a Comment