Friday 30 January 2015

BOLA SEPAK

1.   BOLA SEPAK
a.    Pengenalan
Bola sepak adalah sejenis permainan yang dimainkan di antara dua pasukan yang mengandungi 11 orang pemain yang masing-masing cuba memenangi perlawanan dengan menjaringkan lebih gol daripada pasukan lawannya. Satu gol adalah hasil hantaran bola yang merentasi garisan gol yang terletak di antara tiang gol dan palang gol. Bola sepak dimainkan dengan menggunakan kedua-dua belah kaki, tetapi para pemain dibenarkan menggunakan semua bahagian badannya kecuali tangan. Penjaga gol yang bertugas mengelakkan bola daripada merentasi garisan gol pula dibenarkan menggunakan tangannya untuk menangkap bola di dalam kawasan penalti.
Pasukan yang menjaringkan lebih banyak gol memenangi sesebuah perlawanan. Namun, kalau kedua-dua menjaringkan jumlah gol yang sama, perlawanan itu dianggap sama (draw). Dalam pertandingan kalah mati, bagi menentukan pemenang, masa 30 minit (masa berlebihan, extra time) akan ditambah jika kedua-dua pasukan menjaringkan jumlah gol yang sama dalam 90 minit yang asal. Pasukan yang menjaringkan gol yang lebih pada masa berlebihan ini memenangi perlawanan.
Kalau masa berlebihan tidak dapat menentukan pemenang, sepakan penalti akan diadakan. Setiap pasukan diberikan 5 sepakan penalti. Pasukan yang menjaringkan penalti yang lebih memenangi perlawanan.

b.   Sejarah Dan Perkembangan
Permainan yang mempunyai persamaan dan cirri-ciri bola sepak telah wujud di negeri China sejak abad ke-3 SM. Pelbagai jenis permainan bola sepak telah diperkenalkan pada Zaman Pertengahan Eropah. Fakta telah menunjukkan bahawa permainan bola menggunakan kaki telah bermula sejak ratusan tahun yang lalu dan dipercayai lebih awal daripada sejarah permainan bola menggunakan tangan.

Sejarah permainan menggunakan kaki bermula sejak kurun ke-2 dan ke-3 di China. Permainan ini bermula pada zaman pemerintahan Dinasti Han. Askar-askar mereka menggunakan bola yang diperbuat daripada kulit sebagai latihan fizikal dan dikenali sebagai latihan ATsu ChuE.

Selain itu, fakta juga telah menunjukkan permainan Greek, episkyros mempunyai persamaan dengan perminan daripada Rom. Permainan ini dimain oleh dua pasukan menggunakan bola kecil dan bermain di kawasan padang yang bersegi empat tepat dan ditanda garisannya. Objektif permainan ini adalah untuk membawa bola melepasi sempadan pihak lawan. Permainan ini telah bertahan selama 700 hingga 800 tahun.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa atau FIFA adalah satu badan pentadbiran yang ditubuhkan untuk menguruskan bola sepak. Oleh sebab permainan bola sepak dimainkan dengan cara yang berbeza-beza di sekolah-sekolah United Kingdom, undang-undang dan peraturan awal telah diperkenalkan bagi menyeragamkan cara permainan dan memudahkan permain-pemain memahami peraturan-peraturan tersebut. Pada tahun 1863, Persatuan Bola Sepak England telah ditubuhkan oleh beberapa kelab bola sepak. Mereka menggubal satu undang-undang bola sepak yang formal dan undang-undang ini dikembang menjadi Undang-Undang Bola Sepak yang diguna pakai sehingga kini.

Selepas beberapa tahun, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ini telah menerima pasukan bola sepak dari Afrika Selatan pada tahun 1909/1910, Argentina dan Chile pada tahun 1912 serta Amerika Syarikat pada tahun 1913. Perancangan FIFA untuk mengadakan pertandingan pada peringkat antarabangsa telah ditangguhkan kerana tercetusnya Perang Dunia Pertama.

Pada 1 Mac 1921, Jules Rimet telah dilantik mejadi presiden ketiga Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Beliau merancang untuk mengadakan kejohanan secara kecil-kecilan dan satu peraturan telah diluluskan pada tahun 1928.
Pemenang kejohanan akan dinobatkan sebagai juara dan akan diberikan trofi menakala seorang pengukir Perancis, Abel Lafleur telah dipertanggungjawabkan untuk mencipta trofi yang pertama. Trofi ini dikenali sebagai Piala Jules Rimet. Kongres pertama yang berlangsung di Barcelona telah memilih Uruguay sebagai tuan rumah yang pertama pada 1 Mei 1929.

Buat pertama kalinnya pada 18 Julai 1930, kejohanan pertama Piala Dunia dilangsungkan di Uruguay. Kejohanan ini diadakan di tiga gelanggang di Montevideo. Uruguay menjadi tuan rumah muncul sebagai juara selepas menewaskan Argentina 4-2 pada perlawanan akhir.

Piala dunia telah terhenti apabila tercetusnya Perang Dunia Kedua. Walau bagaimanapun, Julies Rimet telah berusaha keras sepanjang 33 tahun beliau memehang tugas sebagai presiden. Impiannya menjadi kenyataan apabila FIFA telah terdiri daripada 85 negara dari seluruh dunia. Rimet yang dilantik Presiden Kehormat Pertama FIFA telah meninggal dunia setahun kemudian dan digantikan oleh Rodolphe William Seeldrayers pada tahun 1958. FIFA telah memutuskan kejohanan ini diadakan secara berselang-seli di benua Eropah dan Amerika Selatan. Operasi FIFA banyak dikawal selia oleh Ernst B. Thommen yang bertindak sebagai Penganjur Jawatankuasa Pertandingan bagi Piala Dunia 1954, 1958 dan 1962 sebelum Sir Stanley Rous dilantik sebagai Presiden FIFA ke enam. Antara sumbangan besar Rous ialah menambah keahlian baru dan menyiarkan kejohanan Piala Dunia secara meluas di seluruh dunia.

Bola sepak telah menjadi sebahagian daripada fenomena kehidupan dan merupakan sukan yang paling popular di dunia. Oleh sebab itu, permainan ini selalunya digelar sebagai Pilihan Kenangan Dunia Lalu.

c.    Perkembangan Bola Sepak Di Malaysia
Pada tahun 1926, satu Persatuan Bola Sepak ditubuhkan dan selepas itu secara rasminya menjadi persatuan bola sepak kebangsaan pada 1933. Persatuan ini juga dikenali sebagai Football Association of Malaya (FAM). Sir Andrew Caldecott dilantik menjadi Preseden FAM yang pertama pada tahun 1933 dan diikuti oleh M. Shelley, Dr J. Webster, S. Scott, R. Williamson dan Andrian Clark. Mereka menerajui persatuan ini sehingga tahun 1940 sebelum Peperangan Dunia Kedua meletus.
Selepas tamat perang, Presiden FAM ialah J. King, diikuti dengan H. Bryson dan Dr C. Rawson. Mereka berkhidmat selama 2 tahun setiap seorang sebelum tampuk pemerintahan FAM bebas daripada pengaruh pemerintahan kuasa British.

Pada tahun 1951, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj iaitu Perdana Menteri Malaysia yang pertama telah dilantik sebagai President FAM. Kemudian, pucuk pimpinan FAM telah diambil alih oleh Perdana Menteri kedua iaitu Tun Abdul Razak Haji Hussein. Pada tahun 1976, jawatan tersebut telah diisi oleh Tan Sri Datuk Seri Setia Raja Hamzah Haji Abu Samah.

Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah merupakan tokoh yang banyak membantu dalam pembangunan sukan bola sepak tanah air. Pada tahun 1989, Liga Semi-Pro diperkenalkan sebelum sukan ini diikhtiraf sebagai sukan profesional beberapa tahun kemudian.

Di bawah kepimpinan Sultan Haji Ahmad Shah, perkembangan permainan bola sepak negara mendapat perhatian dari dalam dan luar negara sehinggalah Persatun Bola Sepak Malaysia (FAM) berjaya mengelolakan satu kejohanan berprestij iaitu Piala Remaja Dunia FIFA pada 1997. Daripada sebuah bangunan kecil di Jalan Birch (sekarang Jalan Maharajalela), Kuala Lumpur, FAM akhirnya mempunyai kompleks pentadbiran sendiri di Kelana Jaya, Selangor yang lengkap dengan pelbagai kemudahan latihan dan penginapan.

FAM memainkan peranan besar di dalam program pembangunan bola sepak negara dengan mengadakan kerjasama erat dengan Majlis Sukan Negara dan Kementerian Pelajaran Malaysia. Satu contoh yang baik adalah pengelolaan Pertandingan Liga Piala Menteri Pelajaran Malaysia bawah 14 tahun dan Liga Remaja KPM/FAM bawah 17 tahun yang telah dimulakan pada tahun 2008. Pertandingan ini melibatkan Sekolah Sukan Malaysia dan Sekolah Sukan Negeri yang mewakili 14 buah negeri di Malaysia.


d.    Kemahiran Permainan
i.              Hantaran leret
·         Cuba membuat hantaran        dengan menggunakan kaki kiri dan kanan.
·         Ketepatan         dan arah.
·         Sentuhan pada bola dengan bahagian dalam kaki, luar kaki dan kekura kaki.
·         Kuncikan (lock) pergelangan kaki semasa menyentuh bola
ii.             Hantaran jauh
·         Pemain melakukan hantaran tinggi menggunakan bahagian hujung kaki pada pasangan masing-masing dalam kedudukan statik.
·         Pemain mengawal        bola dengan mengunakan kaki, paha, dada dan kepala.
·         Pemain saling melakukan hantaran tinggi antara satu sama lain.
·         Cuba membuat hantaran        menggunakan kaki kiri dan kanan
iii.            Mengelecek
·         Bengkokkan lutut.
·         Kawalan yang baik apabila menuju pihak lawan.
·         Kelajuan bola apabila bergerak.
·         Menukar arah dengan pantas.
·         Mengacah         sebelum menggelecek.
iv.           Menanduk
·         Guna bahagian dahi.
·         Kunci tengkok dan buka mata.
·         Badan dilentik ke          belakang sebelum menanduk.
·         Tandukan di atas untuk bola ke bawah.
·         Tandukan di tengah untuk paras bahu.
·         Tandukan di bawah untuk bola tinggi

v.            Menjaring

e.    Peraturan / Undang – Undang
Dalam permainan bola sepak Undang-Undang Permainan terkini terdiri daripada  17 undang-undang yang tersendiri:
•   Undang-Undang 1 : Padang Permainan
•   Undang-Undang 2 : Bola
•   Undang-Undang 3 : Bilangan Pemain
•   Undang-Undang 4 : Alatan Pemain
•   Undang-Undang 5 : Pengadil
•   Undang-Undang 6 : Penolong Pengadil
•   Undang-Undang 7 : Jangkamasa Permainan
•   Undang-Undang 8 : Permulaan dan Memulakan Semula Permainan
•   Undang-Undang 9 : Bola di Dalam dan di Luar Permainan
•   Undang-Undang 10 : Cara Menentukan Jaringan

Undang-Undang 1 : Padang Permainan
i.              Ukuran Padang
 Padang permainan mestilah berukuran segi empat tepat. Ukuran padang yang
 dibenarkan adalah seperti berikut:
·         Panjang Minimum : 90m (100 ela) Maksimum : 120 m (130 ela)
·         Lebar Minimum : 45m (50 ela) Maksimum : 90 m (100 ela)

Bagaimanapun, ukuran padang untuk permainan peringkat pertandingan antarabangsa adalah seperti berikut:
·         Panjang Minimum : 100m (110 ela) Maksimum : 110 m (120 ela)
·         Lebar Minimum : 64m (70 ela) Maksimum : 75 m (80 ela)

ii.              Kawasan Padang
 Garisan padang perlu ditandakan pada setiap kawasan padang untuk membezakan sesuatu kawasan. Dua garisan panjang sempadan disebut garisan tepi manakala dua garisan yang lebih pendek disebut garisan gol. Ukuran bagi semua garisan mestilah tidak melebihi daripada 12 sm (5 inci lebar. Padang dibahagikan kepada dua bahagian melalui garisan tengah. Kawasan bulatan di tengah padang mempunyai ukuran jejari 9.15 m (10 ela).


iii.            Ukuran Tiang Penjuru Dan Lengkok Sepakan Penjuru


iv.            Ukuran Tiang Gol

Undang-Undang 2 : Bola
Bola mestilah berbentuk sfera dan diperbuat daripada kulit binatang atau bahan lain yang dibenarkan. Lilitan bola adalah tidak kurang daripada 68 sm dan tidak lebih 70 sm. Berat bola dalam lingkungan di antara 410 gram hingga 450
gram pada permulaan permainan. Bola permainan
hanya boleh ditukar dengan kebenaran pengadil.

 

Undang-undang 3: Bilangan Pemain
i.              Pemain
Perlawanan bola sepak memerlukan dua pasukan sahaja. Setiap pasukan mestilah terdiri daripada 11 orang pemain termasuk penjaga gol. Perlawanan tidak boleh dimulakan sekiranya terdapat kurang daripada 7 orang pemain.

ii.             Perlawanan Rasmi
Bagi setiap perlawanan rasmi yang dianjurkan oleh FIFA dan persatuan-persatuan di bawah gabungannya, hanya 3 orang pemain gantian sahaja dibenarkan untuk membuat pertukaran. Peraturan pada setiap pertandingan mestilah menyatakan berapakah bilangan pemain gantian yang dibenarkan untuk membuat pertukaran iaitu di antara 3 hingga 7 pemain gantian.

iii.            Nama Pemain Gantian
Dalam setiap perlawanan, nama-nama pemain gantian mestilah diberikan kepada pengadil sebelum perlawanan dimulakan. Pemain gantian yang tidak didaftarkan tidak akan dibenarkan untuk bermain.

iv.           Prosedur Penggantian Pemain
Pertukaran pemain gantian mestilah mematuhi prosedur yang ditetapkan. Pengadil mestilah dimaklumkan sebelum sebarang pertukaran dibuat. Pemain gantian hanya boleh memasuki padang selepas pemain yang hendak digantikan keluar dari padang dan selepas mendapat isyarat daripada pengadil. Proses pertukaran lengkap apabila pemain gantian memasuki padang permainan dan pemain yang telah diganti itu tidak boleh lagi mengambil bahagian dalam perlawanan tersebut.

v.            Pertukaran Penjaga Gol
Untuk menukar penjaga gol, pengadil hendaklah diberitahu terlebih dahulu dan sebelum pertukaran dibuat semasa pemberhentian permainan.

Undang-undang 4: Alatan Pemain
i.              Keselamatan
Pemain tidak dibenarkan memakai peralatan atau perhiasan yang boleh membawa bahaya kepada dirinya dan juga kepada pemain-pemain yang lain. Sebagai contoh cincin, gelang atau jam tangan.

ii.              Peralatan Asas
Peralatan asas yang mesti dipakai oleh setiap pemain ialah ;
Ø  jersi atau baju berlengan
Ø  seluar pendek
Ø  stoking
Ø  pelindung kaki
Ø  kasut bola

iii.            Pelindung Kaki (Shin Guards)
Setiap pemain mesti menggunakan pelindung pada kaki. Pelindung kaki atau shin guards yang diperbuat daripada bahan yang sesuai seperti getah atau plastik perlu dipakai di dalam stoking.

iv.           Penjaga Gol
Penjaga gol mesti memakai warna jersi yang berlainan daripada pemain lain, pengadl dan penolong pengadil.

v.            Pelanggaran Peraturan
Seseorang pemain itu tidak dibenarkan bermain sekiranya mereka melanggar peraturan ini. Pengadil akan mengarahkan pemain yang melakukan kesalahan meninggalkan padang. Pemain tersebut tidak dibenarkan memasuki padang sehingga dibenarkan oleh pengadil. Pengadil akan memeriksa peralatan pemain tersebut sebelum dibenarkan meneruskan permainan dan dia hanya dibenarkan memasuki padang setelah bola terkeluar dari padang.
Undang-undang 5: Pengadil
i.              Kuasa Pengadil
Setiap perlawanan akan dikawal oleh pengadil yang berkuasa untuk menguatkuasakan Undang-Undang Permainan.

ii.             Tugas Pengadil
Berikut adalah tugas-tugas seorang pengadil;
Ø  Menguatkuasakan undang-undang perlawanan.
Ø  Mengawal permainan dengan bantuan penolong pengadil.
Ø  Memastikan bola yang digunakan memenuhi syarat.
Ø  Memastikan peralatan pemain yang digunakan memenuhi syarat undang-undang 4.
Ø  Bertindak sebagai penjaga masa dan menyimpan rekod permainan.
Ø  Memberhentikan atau membatalkan permainan sekiranya berlaku sebarang gangguan daripada pihak luar.
Ø  Memberhentikan perlawanan sekiranya terdapat kecederaan teruk pada pemain dan memastikan pemain itu dibawa keluar dari padang.
Ø  Memastikan pemain yang mengalami pendarahan atau luka meninggalkan padang.
Ø  Pemain yang cedera itu hanya dibenarkan masuk semula ke padang setelah mendapat syarat daripada pengadil.
Ø  Menghukum kesalahan yang lebih berat kepada pemain yang melakukan lebih daripada satu kesalahan pada suatu masa.
Ø  Mengambil         tindakan disiplin  ke atas pemain yang membuat kesalahan amaran bertulis (kad kuning) atau perintah keluar padang (kad merah).
Ø  Mengambil         tindakan ke atas pegawai pasukan yang  gagal mengawal kelakuan semasa perlawanan.
Ø  Bertindak melalui nasihat yang diberikan oleh penolong pengadil atas kesalahan yang tidak dapat dilihat olehnya.
Ø  Menyambung semula permainan selepas memberhentikannya.

iii.            Keputusan pengadil
Keputusan pengadil adalah muktamad. Pengadil hanya boleh menukar keputusannya apabila menyedari bahawa keputusan tersebut adalah salah atau setelah berbincang dengan penolong pengadil dengan syarat permainan itu belum dimulakan semula atau ianya telah ditamatkan.

Undang-undang 6: Penolong Pengadil
i.              Tugas
Seseorang pengadil dibantu oleh dua penolong pengadil. Antara tugas penolong pengadil ialah:
Ø  Menunjukkan isyarat bila keseluruhan bola keluar dari garisan padang.
Ø  Menunjukkan isyarat pasukan mana berhak  untuk sepakan sudut, sepakan gol dan lontaran ke dalam.
Ø  Menunjukkan isyarat pemain yang berada dalam kedudukan ofsaid.
Ø  Membantu         mengesan sebarang kesalahan atau kejadian yang berlaku di luar penglihatan pengadil.

ii.             Bantuan
Membantu pengadil mengawal perlawanan berdasarkan undang-undang permainan bola sepak. Penolong pengadil boleh masuk padang untuk mengawal dan memastikan jarak 10 ela (9.15 m) dipatuhi.

Undang-undang 7: Jangkamasa Permainan
i.              Jangkamasa Permainan
Tempoh permainan pada setiap separuh masa adalah 45 minit, kecuali terdapat persetujuan di antara kedua-dua pasukan dan pengadil diberitahu sebelum permainan dimulakan. Contohnya mengurangkan masa untuk setiap separuh masa kepada 40 minit.

ii.             Masa Rehat
Masa rehat diberikan kepada pemain selepas menamatkan separuh masa pertama. Masa yang diberikan adalah tidak melebihi 15 minit.

iii.             Masa Tambahan
Masa tambahan diberikan apabila berlaku pemberhentian masa sewaktu pertukaran pemain, rawatan kepada pemain yang tercedera atau pengadil bertindak mengeluarkan pemain yang cedera dari padang untuk mendapatkan rawatan.

iv.           Tendangan Penalti
 Apabila tendangan penalti hendak diambil atau diambil semula, tempoh masa akan dipanjangkan sehingga tendangan penalti itu dilakukan.

v.             Pemberhentian Perlawanan
Sesuatu perlawanan yang dihentikan akan dimainkan semula melainkan peraturan pertandingan menyatakan sebaliknya.
Undang-undang 8: Permulaan dan Memulakan Semula Permainan
i.              Permulaan Perlawanan
Penentuan pasukan mana yang berhak sama ada untuk memilih kawasan gol atau memulakan perlawanan dilakukan dengan melambung duit syiling. Pasukan yang kalah lambungan syiling akan membuat sepak mula. Pasukan yang menang lambungan syiling akan membuat sepak mula pada separuh masa kedua.

ii.             Sepak Mula
Sepak mula merupakan cara untuk memulakan perlawanan atau memulakan semula perlawanan pada separuh masa kedua. Sepak mula juga dibuat selepas jaringan gol dilakukan dan ketika permulaan di setiap separuh masa perlawanan semasa tambahan masa. Jaringan boleh dibuat terus daripada sepak mula.

iii.            Prosedur
Semua pemain mestilah berada di kawasan mereka sendiri. Pasukan lawan hendaklah berada sekurang-kurangnya 9.15m (10 ela) daripada bola, semasa sepak mula diambil dan bola mestilah dalam keadaan pegun dan berada di tengah-tengah kawasan bulatan. Selepas pengadil memberi isyarat mula, pemain perlu membuat sepakan ke hadapan. Pemain yang membuat sepak mula tidak boleh memainkan semula bola itu sebelum ianya disentuh atau dimainkan oleh pemain lain. Selepas setiap jaringan gol, sepak mula akan diambil oleh pasukan lawan.

Undang-undang 9: Bola Di Dalam dan Di Luar Permainan
Bola dikira keluar dari padang permainan;
Ø  apabila keseluruhan bola melintasi garisan tepi atau garisan gol sama ada di tanah atau di udara.
Ø  diberhentikan oleh pengadil.
Bola dikira dalam permainan, termasuklah bila;
Ø  apabila ia melantun daripada tiang gol, palang gol atau tiang penjuru dan berada di dalam kawasan permainan.
Ø  apabila ia melantun samada daripada pengadil atau penolong pengadil yang berada dalam kawasan permainan.

Undang-undang 10 : Cara Menentukan Jaringan
Jaringan gol dikira apabila keseluruhan bola melepasi gol di antara tiang-tiang gold an di bawah palang gol dengan syarat tiada pelanggaran undang-undang dilakukan oleh pasukan yang menjaringkan gol tersebut.

Pasukan yang menjaringkan lebih banyak gol akan dikira sebagai pemenang perlawanan. Perlawanan akan dikira seri sekiranya kedua-dua pasukan menjaringkan jumlah gol yang sama atau tidak menjaringkan sebarang gol di dalam tempoh perlawanan tersebut.

No comments:

Post a Comment